Friday, 5 October 2012
Demi Redhamu Ibu
Najmah, sahabat sefikrahku yang bersama-sama memperjuangkan dakwah di bumi Malaysia ini menghulurkan borang permohonan melanjutkan pelajaran ke Jordan. Katanya, dia sengaja mencetak lebih untuk sesiapa yang mahukannya. Bersama borang yang telah dicetak itu, disertakan nombor telefon Ustaz Kamal, mursyidnya yang menguruskan pelajar-pelajar Malaysia ke Timur Tengah.
Waktu itu, aku masih belum berani memberitahu abi akan hasrat ini. Aku berusaha memenuhkan borang itu dengan bantuan rakan-rakan halaqah. Sehinggalah satu sahaja lagi urusan yang perlu diselesaikan, passport dan visa. Mahu mendapatkan passport dan visa perlukan duit dan duit adalah perkara utama yang tidak aku punyai.
Ya, duit! Duit menjadi alasan utama abi untuk tidak menghiraukan borang permohonan yang aku letakkan di atas mejanya. Sudah dua hari aku letakkannya di sudut kanan meja, tetapi sedikit pun tidak berusik. Ummi pula meminta aku lupakan hasrat itu dengan alasan aku tidak pernah berjauhan dengan keluarga.
"Ummi, dah lima tahun adik duduk sekolah berasrama, siapa kata adik tak boleh berdikari ?" rengekku di sisi ummi.
"Bukan ummi kata kamu tak boleh berdikari, tapi kamu tu memang tak boleh hidup sendiri pun. Tengoklah dulu, setiap bulan ibu lawat adik di asrama."
Aku tidak mengerti. Mengapa ummi tidak mahu melepaskan aku pergi. Andai kata aku tidak pandai berdikari, maka biarlah aku pergi membawa diri. Di sana nanti aku pasti dapat belajar berdikari. Lagi pula, aku yakin apabila kita lakukan sesuatu yang kita minat, kita pasti akan berusaha untuk tempuhinya. Aku yakin boleh!
Hari demi hari, sulaman keyakinan hanya tinggal di genggaman. Tiada lagi keyakinan di hati dek remuknya seketul daging itu. Ummi dan abi lansung tidak mengendahkan keinginanku. Malah, abi berkeras supaya aku menyambung pelajaran di negeri sendiri. Kalau nak berjauhan dengan keluarga lebih dari dua marhalah pun abi tak bagi, apatah lagi mahu ke luar negara.
Maka, aku akur dengan keputusan mereka. Kata orang, ibu bapa lebih mengetahui apa yang terbaik untuk anaknya. Malah aku sendiri tahu, keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibu bapa.
Kini sudah setahun berlalu. Sekali lagi aku memasang niat untuk melanjutkan pelajaran ke timur tengah. Kali ini, aku teringin benar untuk ke Jordan kerana Athirah sudah pun menuntut di sana. Malah, dia juga mengalu-alukan kedatanganku.
Kali ini, aku memuat turun sendiri borang permohonan ke University Yarmouk itu. Aku cuba menggunakan stratergi yang sama sekali lagi dengan harapan ummi dan abi akan melepaskan aku pergi memandangkan usiaku jua sudah bertambah. Harapnya ummi dan abi tidak mempersoalkan kemampuanku untuk berdikari. Aku betul-betul berminat untuk melanjutkan pelajaran di sana.
Bukan kerana mahu lari dari rumah atau melancong di tempat orang tetapi aku rasakan bahawa di sana aku dapat mendekatkan diri dengan Allah. Aku mahu jadi lebih baik. Aku mahu timba ilmu agama sedalam-dalamnya di sana supaya kelak aku dapat berbakti untuk agamaku.
"Ummi seronok juga kalau kamu dapat sambung belajar di luar negara. Tengoklah mak cik Zaharah kamu tu. ..tersenyum lebar dia anak buat dentistry di Mesir"
"Ummi, adik dah siapkan semuanya dah. Ummi tolonglah adik ye kali ni." Aku cuba memujuk ummi.
"Sayang, ummi bukan tak nak tolong. Betul ke kamu sanggup nak berjauhan dengan keluarga? Kita bukan macam keluarga mak cik Zahara. Mereka memang orang berada. Bolehlah dia pergi lawat anak dia. Kalau anak ummi yang pergi, ummi tak mampu nak bagi duit untuk adik balik Malaysia. Ummi pun tak sanggup berjauhan dengan adik selama tu. Entah nanti adik makan entah kan tidak."
"Ummi, soal duit tak jadi masalah. Kan kita boleh dapatkan biasiswa atau buat pinjaman," rayuku pada Ummi.
*****
"Di sebalik kepayahan disitulah ada kekuatan,
Tekad hati azimat di perjalanan
Tak kuragu untuk membuktikan indah bintang
Yang terang bukan khayalan tetapi kenyataan"
Bait lagu Mimpi yang indah alunan kumpulan nasyid Mestica itu mengasyikkan aku sambil membelek-belek Gen-Q di tanganku.
"Titit.. titit.. titit.. " Tiba-tiba bunyi gema sms dari handphone menghentikan lamunanku . Ada mesej diterima.
Sebaik sahaja skrin sentuh telefon pintarku ditolak ke atas, terpapar mesej daripada Wahida.
"Aisyah, awak jadi tak nak sambung Medic di Jordan?"
Aku terpaku seketika.
Tiba-tiba, butir-butir mutiara yang tadinya bergenang di kelopak mata mengalir laju. Entah mengapa persoalan itu bagaikan panah yang menusuk jantungku. Sudah dua bulan aku cuba melupakan bumi Timur Tengah itu. Namun, kehadiran mesej daripada Wahida mengingatkan kembali bagaimana hatiku remuk apabila ummi dan abi tidak bersetuju aku melanjutkan pelajaran ke Yarmouk. Satu-satunya Universiti impianku.
Sebenarnya bukan baru dua bulan, tetapi sudah lebih setahun aku cuba meyakinkan ummi dan abi, aku mampu hidup berdikari. Sejak sebelum tamat persekolahan lagi, aku dan sahabat baikku, Athirah telah merancang untuk melanjutkan pelajaran ke bumi Anbiya'. Kami telah bertemu dengan ustazah Masyitah untuk mendapatkan nasihat dan bimbingan. Beliau merupakan graduan Syariah Islamiah lulusan university Yarmouk, Jordan. Jadi, sedikit sebanyak pengalaman beliau di sana telah dikongsikan kepada kami berdua.
Setelah tamatnya persekolahan, aku mengisi kekosongan waktu itu dengan aktiviti-aktiviti pengisian rohani dan dakwah. Pada waktu itu, beberapa orang sahabat yang sehalaqah denganku mengajak aku mengikuti mereka ke bumi Anbiya'. Hal ini buat aku lebih bersemangat untuk menuntut ilmu di sana.
Setiap tadah tangan doaku, aku bermohon agar diberi peluang melanjutkan pelajaran di sana. Setiap lenaku juga mula dihiasi mimpi-mimpi indah di Timur Tengah. Aku benar-benar ingin berada di sana. Melihat kebesaran Allah sambil menghayati sejarah islamiyah yang ditinggalkan umat terdahulu. Malah aku teringin benar bertalaqqi bersama sheikh-sheikh arab yang disegani di sana walaupun aku sedar, aku ini muslimah yang masih cetek ilmunya.
Teringat kata-kata ustazah, "orang-orang arab ni suka mendengar bacaan al Quran pelajar Malaysia." Aku tersenyum sendirian.
Sekali lagi telefon pintar itu berdering , mengembalikan aku ke dunia realiti.
"Aisyah?"
Hanya satu perkataan yang terpapar di skrin telefon. Itu bererti Wahida tertunggu-tunggu jawapan daripadaku.
"Ukhti, asif ana terlewat balas. Ana buntu." Aku membalas pesanan ringkas Aisyah
"Kenapa ni?"
"Tak ada apa-apa. Ana tak ke Jordon kot. Insyaallah ana sambung belajar di Malaysia saja. :)" Jawabku di akhiri dengan ikon smile. Sengaja tidak mahu Aisyah mengesyaki apa yang terbuku dihatiku.
"Kenapa pula? Bukan ke Aisyah beria-ia nak pergi sama?"
"Redha Allah terletak pada keredhaan ibu bapa. Ana redha kalau ini takdirnya."
"Enti berputus asa?" Soal Wahida ringkas.
"Tak lah. Putus asa tiada dalam kamus hidup ana. Mungkin ada taklifan lain yang Allah hendak berikan pada ana di sini. Kalau ummi boleh kata ummi tak sanggup berjauhan lima tahun dengan ana, bagaimana ana sebagai anak tergamak berkeras untuk meninggalkan ummi? Semalam, ana ada ditawarkan mengikuti kursus persediaan ke timur tengah tapi ana dah pun delete mesej tu. Ana sudah tekadkan hati ni." Jawabku tenang
"Its ok. Allah tahu apa yang terbaik untuk hambaNya. The most important thing is the subject. Kalau enti minat, kena campak kat mana pun, enti boleh buat. Good Luck!"
"Syukran ukhti."
Mesej itu berakhir di situ. Aku bingkas bangun dari katil dan mengangkat gen-Q yang terjatuh ke lantai sebelum aku terima mesej Wahida tadi. Terlupa aku mengambilnya sebaik saja majalah itu terlepas dari tangan.
Sedari awal tadi, hatiku betul-betul terusik membaca satu kolum yang berkisarkan kisah seorang syabab di timur tengah. Kemudian bagaikan diketuk pula dengan pertanyaan Wahida itu. Allahu Akbar.
"Bersabarlah wahai hati. Telah aku redha Allah sebagai tuhanku, Islam agamaku dan Muhammad s.a.w itu rasulku. Maka, cukuplah Allah bagiku sebagai penolong."
crispy chubby diaries
with love
shuhada hisham
No comments:
Post a Comment